PUTRAJAYA: 11 FEB - Tanggungjawab dalam pembangunan sukan dan kecergasan dalam masyarakat harus dilihat sebagai satu gerakan yang harus dimainkan oleh semua pihak. Ianya sejajar dengan hasrat yang dikemukakan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia untuk menjadikan Putrajaya sebagai Bandar Mesra Belia serta harus diisi dengan pelbagai program dan aktiviti-aktiviti menarik yang boleh disertai oleh pelbagai golongan masyarakat khususnya golongan belia dan remaja. Bagi merealisasikan hasrat ini, satu anjakan paradigma harus diambil untuk dijadikan inisiatif kepada saranan Y.A.B Perdana Menteri dengan mengadakan satu program atau aktiviti yang mampu menarik penyertaan ramai dan dilakukan secara berterusan kepada golongan sasaran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang terdiri daripada para belia. Berdasarkan kepada kejayaan penganjuran sulung Kejohanan Futsal Penjawat Awam Putrajaya 2011 pada bulan Januari 2011 yang mendapat sambutan sangat menggalakkan dari peserta seluruh negara, KBS telah mengambil iniasatif untuk menganjurkan Liga Super Futsal KBS - Putrajaya 2011 dengan kerjasama Kelab Bola Sepak Futsal Arena bagi memberi ruang dan peluang kepada para belia dan remaja yang bukan sahaja inginkan kemenangan tetapi turut ingin membina nilai-nilai murni dan karektor yang positif supaya dapat memainkan peranan yang lebih produktif dalam pembangunan negara di samping membina jaringan hubungan dan mengeratkan siratulrahim sesama mereka.
Sebelum ini, Kementerian Belia dan Sukan yang telah menganjurkan kejohanan Futsal Penjawat Awam Putrajaya - Kota Belia 2011 amat berpuashati dengan penganjuran kejohanan tersebut yang mendapat sambutan hangat melalui penyertaan pasukan dari seluruh negara. Kejohanan tersebut telah menobatkan pasukan dari Insititut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) sebagai juara bagi katagori lelaki dan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selaku juara bagi katagori wanita. Rata-rata pasukan memberikan reaksi yang positif terhadap penganjuran kejohanan dan mahukan KBS memperbanyakkan lagi kejohanan futsal untuk semua golongan termasuk para belia. Ini mendorong KBS untuk menganjurkan Kejohanan Futsal Liga Super KBS Putrajaya 2011 bagi meneruskan kesinambungannya sehingga kemuncak sambutan Hari Belia Negara secara besar-besaran di Putrajaya yang dijadualkan pada 28 Mei 2011 akan datang Liga Super Futsal KBS - Putrajaya 2011 akan diadakan di Kompleks Futsal Presint 18, Putrajaya bermula 26 Februari 2011 dan berakhir 21 Mei 2011. Kompleks Futsal Presint 18, Putrajaya mempunyai 11 gelanggang futsal dan mempunyai kemudahan permainan yang lengkap untuk melaksanakan kejohanan seumpama ini.
Kejohanan ini akan berlangsung pada setiap Sabtu dan terbuka kepada semua warganegara Malaysia tanpa mengira had umur. Kategori wanita terbuka turut mengambil tempat dalam kejohanan ini sekaligus memberi peluang kepada kaum wanita untuk turut terlibat sama menyertai kejohanan ini bagi merebut kejuaraan. Pihak penganjur mengalu-alukan penyertaan daripada sektor awam dan swasta, sektor perkilangan, pelajar insitut pengajian tinggi awam dan swasta serta pelajar sekolah dan menghadkan penyertaan kepada sebanyak 216 pasukan yang akan beraksi pada kejohanan tersebut. Ia termasuk 192 pasukan lelaki dan 24 pasukan wanita. Sebanyak 4 kategori akan dipertandingkan iaitu Kategori Lelaki (Terbuka), Kategori Wanita (Terbuka), Kategori Lelaki(Bawah 18 tahun) dan Kategori Lelaki (Bawah 12 tahun). Setiap pasukan akan diwakili 12 orang pemain. Sejumlah RM54,000.00 ditawarkan kepada pemenang-pemenang kejohanan ini dan hadiah kejuaraan yang mencecah RM 10,000 bagi johan setiap kategori yang dipertandingkan disamping medal, Sijil dan hadiah iringan yang lain. Pihak penganjur berharap Liga Super Futsal KBS - Putrajaya 2011 ini akan mendapat sambutan yang positif serta penyertaan yang memberangsangkan dari semua lapisan masyarakat. Penglibatan menyeluruh oleh golongan belia yang terdiri dari pelbagai kaum Melayu, Cina dan India akan dapat membuktikan bahawa aktiviti Sukan Futsal ini adalah satu platform
yang terbaik lagi utuh dalam merealisasikan Konsep 1 Belia 1 Malaysia serta bertepatan dengan matlamat sebenar kejohanan yang menjadikan Bandar Putrajaya sebagai “Bandar Mesra Belia”.
Kepada pasukan-pasukan yang berminat, boleh menghubungi Encik Izzady bin Abd. Lah ditalian 03-8871
3158 (pej.) emel: izzady@kbs.gov.my dan talian mudah alih: 012-6225425; Azman bin Maarof di ditalian 03-8871 3348 (pej.) emel: gman@kbs.gov.my dan talian mudah alih: 012-655 4008; Encik Mohd Hanaffi bin A. Rahman ditalian 03-8871 3355 (pej.) emel:hanaffi@kbs.gov.my dan talian mudah alih: 012-9236 459; Encik Mohd Zaila bin Ismail ditalian 03-4280 0934 (pej.) emel: aliazdhom@yahoo.com dan talian mudah alih: 012-6225 425 emel: 019-9444 334,atau Encik Nik Muhd Radzi bin Mohamed Nor di ditalian 03-8871 3158 (pej.) emel: focusarena@yahoo.com.my dan talian mudah alih: 019-3519 934
Untuk Maklumat Lanjut :http://www.kbs.gov.my/dokumen2011/ligafutsal.pdf